4 sekeluarga kemalangan: 2 beranak maut, 2 parah

KUCHING – Dua beranak maut apabila kereta dinaiki mereka bersama dua lagi ahli keluarga, terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Gedong, Simunjan, hari ini.

Mangsa dikenal pasti sebagai pemandu kereta jenis Proton Wira itu, Sim Geok Chiew, 37, dan anak perempuan, Alisia Sim, 11, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 1.26 tengah hari tadi.

Susulan itu, katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dikerah ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, didapati ada mangsa (pemandu) masih berada dalam Proton Wira itu, manakala tiga lagi mangsa tercampak keluar dari kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perlanggaran itu turut menyebabkan isteri mangsa, Freda Gulong, 36, dan seorang lagi anak mereka, Alysa Sim, 6, mengalami kecederaan parah serta dikejarkan ke Hospital Simunjan untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu lori terbabit bagaimanapun dilaporkan tiada mengalami sebarang kecederaan.

BH ONLINE