Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak mengunjurkan empat juta pelawat mengunjungi negeri itu tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata unjuran itu berdasarkan trend peningkatan yang cukup menggalakkan apabila seramai 3.18 juta pelawat mengunjungi Sarawak dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Menurutnya, sebelum ini MTCP mengunjurkan ketibaan tiga juta pelawat keSarawak tahun ini dengan pendapatan disasarkan sebanyak RM7.6 bilion.
“Bagaimanapun sehingga Oktober, Sarawak menerima seramai 3.18 juta pelawat, iaitu peningkatan sebanyak 131.34 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022.
“Pendapatan sektor pelancongan Sarawak antara Januari hingga Oktober tahun ini berjumlah RM8.07 bilion iaitu peningkatan sebanyak 143.81 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus menyumbang sebanyak 5.75 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Abdul Karim berkata, dengan unjuran sebanyak empat juta pelawat tahun depan, MTCP menjangkakan memperoleh hasil sebanyak RM9.76 bilion.
Menurutnya, pelancongan kesihatan antara yang menyumbang kepada peningkatan ketibaan pelawat itu berikutan banyak fasiliti kesihatan menarik warga asing untuk mendapatkan perkhidmatan itu.
Beliau berkata, warga Indonesia dan Brunei adalah penyumbang utama hasil pelancongan kesihatan manakala China dilihat sebagai sumber berpotensi seterusnya.
“Seperti yang dilaporkan oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), antara rawatan perkhidmatan perubatan paling popular di Sarawak ialah pembedahan ortopedik, gastroenterologi, kardiologi, onkologi, obstetrik, ginekologi, oftalmologi dan pemeriksaan kesihatan.
“Tahun ini, Sarawak merekodkan seramai 28,000 pelawat kesihatan dengan anggaran pendapatan RM54 juta,” katanya.
Menurutnya lagi, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) turut bekerjasama rapat dengan MHTC bagi meningkatkan lagi promosi sektor pelancongan kesihatan.
“Menerusi kerjasama itu kita menyertai Ekspo Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHX) yang diadakan di Jakarta pada Februari 2023.
“Selain itu, STB secara aktif menganjurkan jerayawara penjagaan kesihatan di tiga bandar utama di Indonesia iaitu Jakarta, Balikpapan dan Banjarmasin.
“Pada September lalu, STB turut menyertai Sabre Brunei Travel Fair di Bandar Seri Begawan dengan mempromosikan rawatan khusus seperti pemeriksaan pergigian, endoskopi, kardiologi dan pemeriksaan kesihatan untuk rakyat Brunei,” katanya.
Sumber teks – BH Online