Malaysia Airlines sedia sambungan rel di Seoul, London

Malaysia Airlines sedia sambungan rel di Seoul, London

Malaysia Airlines memperkenalkan produk baharunya, MHrail yang menyediakan sambungan rel lancar kepada penumpang melalui satu tempahan.

Selaras dengan inisiatif ini, syarikat penerbangan itu juga mengumumkan pengembangan perkongsiannya dengan AccesRail, pembekal terkemuka dunia bagi penyelesaian antara kereta api-udara.

Kerjasama ini membolehkan pelanggan menempah sambungan kereta api dengan lancar dan membuka peluang untuk menerokai bandar-bandar seperti Seoul dan London apabila melakukan perjalanan dengan syarikat penerbangan itu.

Ketua Pegawai Komersial Syarikat Penerbangan dari Kumpulan Penerbangan Malaysia, Dersenish Aresandiran berkata, pelanggan Malaysia Airlines kini boleh menempah tiket kereta api Korail KTX untuk laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan.

Beliau berkata, pelanggan juga boleh menempah tiket kereta api antara London Heathrow di United Kingdom dan destinasi di sepanjang Pantai Timur melalui London North Eastern Railway (LNER) dan Pantai Barat dengan Avanti West Coast.

“Perluasan ini melengkapkan laluan kereta api sedia ada yang ditawarkan melalui perkongsian ini seperti di Great Western Railway dan tiket boleh didapati untuk pembelian di laman web rasmi Malaysia Airlines serta semua sistem pengedaran global (GDS) agensi pelancongan.

“Melalui perkongsian ini, pelanggan Malaysia Airlines boleh berhubung dengan lancar daripada penerbangan antarabangsa mereka ke laluan rel yang dikendalikan oleh kereta api, yang dipermudahkan oleh kod pengangkutan ‘9B’ AccesRail,” katanya dalam satu kenyataan.

Dersenish berkata, beliau berbesar hati menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk sambungan penerbangan ke kereta api bagi memastikan pengalaman perjalanan yang memudahkan untuk semua pelanggan Malaysia Airlines.

“Dengan pengenalan produk MHrail baharu, kami menyediakan laluan yang lancar kepada penumpang untuk membeli tiket penerbangan dan kereta api, menjadikannya mudah bagi mereka untuk meneroka bandar-bandar berkenaan dan menikmati sambungan seterusnya setibanya di London atau Seoul melalui jadual perjalanan dan tiket,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan AccesRail, Andrew Popescu, berkata, AccesRail dan Malaysia Airlines telah bekerjasama selama bertahun-tahun dengan peluang untuk meluaskan rangkaian laluan syarikat penerbangan itu.

“Kami teruja memperdalamkan lagi kerjasama Malaysia Airlines-AccesRail ini dan berharap untuk meneruskan kerjasama dengan mereka pada skala global.

“Melalui AccesRail yang dipertingkatkan ini, perkongsian bersama Malaysia Airlines pada masa sekarang dan masa hadapan akan dapat menawarkan lebih banyak destinasi kepada pelanggan,” katanya.

BH ONLINE