RANAU — Tiga pekerja kontrak maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja memasang panel solar di kawasan bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR), di sini, pagi tadi.
Mangsa yang maut dalam kejadian jam 11.11 pagi itu adalah warga tempatan berusia 50 tahun, manakala dua lagi mangsa warga asing berusia 25 dan 36 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Ediansha Endal, berkata siasatan awal mendapati terdapat empat pekerja ditugaskan untuk memasang panel solar di kawasan terbabit.
“Ketika sedang memasang panel solar itu, mereka menggunakan perancah besi (scaffolding) pada ketinggian hampir 7.32 meter, manakala seorang berada di bawah.
“Ketika pemasangan, panel solar berkenaan menyentuh kabel elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd yang dikategorikan sebagai ‘high voltan’ 11KV (11000 kilovolt),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Ridwan Mohd Taib, berkata pasukan bomba membantu mengalihkan ketiga-tiga mayat itu ke tempat selamat.
“Semua mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan jam 12.03 tengah hari,” katanya.
BH ONLINE