Sekurang-kurangnya 18 terbunuh dalam serangan Israel di Gaza, kata medik Palestin

KAHERAH – Sekurang-kurangnya 18 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza pada Sabtu, kata pegawai perubatan, manakala tentera Israel berkata ia menyasarkan lelaki bersenjata yang beroperasi dari tempat perlindungan dan simpanan bantuan.

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam serangan udara dekat bangunan perbandaran di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza tempat orang ramai berkumpul untuk menerima bantuan, kata pegawai perubatan.

Mangsa dibawa dengan berjalan kaki, menaiki beca dan kereta persendirian dari lokasi serangan ke hospital, kata pegawai perubatan.

Serangan itu membunuh ketua jawatankuasa pentadbiran Hamas di tengah Gaza, kata sumber Hamas.

Tentera Israel sedang meneliti laporan itu, kata seorang jurucakap.

Terdahulu, pesawat Israel menyerang militan dan tempat simpanan senjata dekat gudang bantuan, kata tentera, selepas lelaki bersenjata melepaskan roket ke Israel dari sana.

Sementara itu, kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata sekurang-kurangnya 44,930 orang terbunuh dalam lebih 14 bulan perang. Jumlah korban termasuk 55 kematian dalam tempoh 24 jam sebelumnya, menurut kementerian itu, yang menyatakan 106,624 orang cedera di Semenanjung Gaza sejak perang bermula.

Serangan berasingan di bandar Gaza ke atas bekas tempat perlindungan menempatkan orang kehilangan tempat tinggal menyasarkan pejuang Hamas, kata tentera.

Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam serangan itu, kata pegawai perubatan Palestin, termasuk seorang wanita dan bayinya.

Tidak jelas sama ada mana-mana orang lain yang terbunuh adalah pejuang.

Tentera berkata ia telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko bahaya kepada orang awam.

Serangan berasingan di bandar Gaza membunuh seorang wartawan tempatan, kata pegawai perubatan. Tentera sedang meneliti laporan itu, kata seorang jurucakap.

AN-AFP/REUTERS