MUAR — Polis memburu dua lelaki yang disyaki merompak sebuah rumah dengan bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Sri Treh, Bakri, di sini, petang kelmarin.
kedua-dua suspek lelaki yang memakai pelitup muka, turut melarikan sebuah kereta Perodua Myvi milik mangsa sebelum kenderaan itu ditemui di Jasin, Melaka, 11.30 pagi kelmarin.
Rakaman perbuatan kedua-dua suspek dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang kini tular menunjukkan dua suspek lelaki memasuki rumah ketika pemiliknya sedang berehat dan mengambil barangan berharga.
Sebelum itu, suspek dilihat bersembunyi di sebalik tembok pagar sebaik menyedari mangsa pulang ke rumah.
Tidak lama kemudian, dua suspek keluar dari rumah dengan keluarga mangsa cuba menghalang, namun gagal menyekat mereka masuk dalam kereta dan melarikan kenderaan itu.
Difahamkan, salah seorang ahli keluarga mangsa cedera selepas dipukul suspek ketika pergelutan di luar rumah.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, ketika ini usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan menggunakan senjata.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Seventhi Panner di talian 011-1625 1909.
“Mereka juga boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian 06-9526001 bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan.
BH ONLINE