Amaran kecemasan banjir dikeluarkan di timur laut Australia

SYDNEY – Amaran kecemasan banjir dikeluarkan untuk komuniti di negeri Queensland di timur laut Australia pada Khamis.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran Watch and Act untuk komuniti di sepanjang Sungai Jandowae dan di wilayah South Burnett, kedua-duanya kira-kira 180 km barat laut Brisbane, dengan penduduk di kawasan rendah digesa untuk beredar.

“Beri amaran kepada jiran, selamatkan barang-barang dan laksanakan pelan kecemasan anda,” kata amaran itu.

Hujan lebat selama beberapa hari di tenggara Queensland yang berpenduduk ramai mencetuskan banjir kilat dan gangguan bekalan elektrik di kawasan itu.

Lebih 2,000 hartanah di kawasan itu terputus bekalan elektrik pada malam Rabu. Setakat pagi Khamis, bekalan telah dipulihkan kepada kebanyakan hartanah terjejas.

Biro Meteorologi (BoM) mempunyai 12 amaran banjir di beberapa tempat di seluruh negeri pada Khamis, termasuk amaran utama untuk Sungai Logan di selatan Brisbane.

Perkhidmatan Kecemasan Negeri berkata ia menerima 145 panggilan untuk bantuan dalam tempoh 24 jam hingga pagi Khamis, kebanyakannya di tenggara negeri dan berhubung dengan hujan lebat.

Empangan terbesar di wilayah itu di Wivenhoe, barat Brisbane, pada Selasa mula mengeluarkan air selepas mencapai kapasiti 90 peratus. Ia menandakan pelepasan air pertama dari empangan sejak banjir teruk pada 2022.

BoM berkata keadaan akan reda di tenggara Queensland pada Khamis, dengan ribut dijangka melanda utara dan barat negeri itu.

XINHUA