Sweden tidak akan biaya lagi agensi bantuan UNRWA, kata menteri

OSLO – Sweden tidak akan membiayai lagi agensi pelarian PBB untuk Palestin (UNRWA) sebaliknya memberikan bantuan kemanusiaan kepada Gaza melalui saluran lain, kata menteri bantuan negara Nordic itu, Benjamin Dousa, kepada penyiar Sweden TV4 pada Jumaat.

Israel, yang akan mengharamkan operasi UNRWA di negara itu mulai akhir Januari, telah berulang kali menuduh agensi itu terlibat dalam serangan 7 Oktober 2023 pimpinan Hamas ke atas Israel yang mencetuskan perang berterusan di Gaza.

Keputusan Sweden untuk menamatkan pembiayaan untuk UNRWA adalah sebagai tindak balas kepada larangan Israel, kerana ia akan menyukarkan penyaluran bantuan kepada rakyat Palestin melalui agensi itu, kata Dousa.

Sweden merancang untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan keseluruhannya ke Gaza tahun depan, tambahnya.

“Terdapat beberapa organisasi lain di Gaza, saya baru sahaja berada di sana dan bertemu beberapa daripada mereka,” kata menteri itu, menamakan Program Makanan Sedunia (WFP) PBB sebagai satu penerima berpotensi.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberikan sokongannya kepada UNRWA bulan ini, menuntut Israel menghormati mandat agensi itu dan “membolehkan operasinya diteruskan tanpa halangan atau sekatan.”

AN-REUTERS