JERUSALEM – Seorang askar simpanan Israel terbunuh, dan seorang komander batalion parah apabila kenderaan mereka melanggar bom tepi jalan di Tebing Barat yang diduduki, kata tentera Israel pada Isnin.
Tentera Israel sedang meronda di pekan Palestin Tammun, selatan Jenin, apabila jip mereka terkena bahan letupan sekitar tengah malam antara Ahad dan Isnin.
Askar simpanan itu, yang dikenali sebagai Eviatar Ben Yehuda, 31, terbunuh dalam letupan itu. Pegawai yang duduk di sebelahnya mengalami kecederaan serius dan telah dipindahkan ke hospital untuk rawatan, kata tentera.
Insiden itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Tebing Barat, ketika Israel meneruskan serbuan setiap hari di bandar dan pekan Palestin, sering mengakibatkan korban Palestin. Ia berlaku sehari selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa, menghentikan lebih 15 bulan serangan Israel di Gaza.
XINHUA