KUANTAN — Bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson diarah menjalani ujian saringan air kencing pada Rabu lalu susulan laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan beliau terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing itu mengesahkan Zahnita bebas daripada dadah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata wanita berusia 39 tahun itu sebelum itu pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk mendapatkan kebenaran polis bagi mengiringinya mengambil anak-anaknya dari rumah suaminya, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, di sini.
“Saya ingin menjelaskan ujian air kencing dibuat terhadap Zahnita bukan disebabkan dia meminta bantuan polis untuk mengiringinya mengambil anak bagi melaksanakan perintah perlindungan interim (IPO) hak penjagaan anak itu.
“Sebaliknya, pada hari sama dia datang ke IPD Kuantan, ada laporan dibuat terhadapnya mengatakan dia terbabit dengan dadah, menyebabkan polis perlu untuk membuat ujian air kencing bagi mengesahkan pengaduan itu.
“Bagaimanapun, saringan ujian air kencing dibuat di balai polis itu disahkan negatif,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya kemudian memberikan bantuan pengiring keselamatan yang diminta bekas pelakon itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika dia mengambil anak-anaknya dari rumah suaminya.
Semalam, Zahnita yang nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson mendakwa dia dikehendaki menjalani ujian air kencing sebelum dibenar menggunakan pengiring polis untuk mengambil dua anaknya dari rumah suaminya pada Rabu lalu.
Pada minggu lalu, mahkamah memberikan penjagaan sementara anak-anaknya kepada Zahnita sebelum keputusan penjagaan akhir dijadualkan pada 3 Januari tahun depan.
Mahkamah Majistret di sini juga meluluskan permohonan Zahnita untuk Perintah Perlindungan Sementara (IPO) mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Pada 5 Disember, suami Zahnita didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan dengan dua pertuduhan kerana secara sengaja menyebabkan kecederaan kepadanya dan mengedar dadah.
Zahnita menjadi tumpuan media awal bulan ini selepas mendakwa mengalami keganasan rumah tangga apabila beliau memuat naik dua foto di media sosial yang menunjukkan matanya lebamnya.
BH ONLINE