Hampir 500 pegawai penguat kuasa dituduh rasuah sejak 2020

KUALA LUMPUR — Hampir 500 pegawai penguat kuasa dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan terbabit rasuah sejak Januari 2020 hingga September 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dalam tempoh berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 8,067 maklumat membabitkan agensi penguat kuasa yang meliputi pelbagai kesalahan.

Beliau berkata daripada keseluruhan maklumat, sebanyak 4,972 maklumat adalah maklumat yang berunsur rasuah dan 3,095 adalah maklumat yang tidak berunsur rasuah.

“Daripada maklumat berunsur rasuah, sebanyak 1,192 Kertas Siasatan telah dibuka dan selebihnya iaitu 3,780 diambil tindakan lain seperti tindakan perisikan dan lain-lain tindakan operasi.

“Sepanjang tempoh yang sama SPRM telah membuat sebanyak 485 pertuduhan dan 238 telah disabitkan kesalahan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang meminta menyatakan berapa jumlah kes siasatan dan dakwaan terhadap unsur rasuah pegawai penguat kuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan sejak 2018.

Azalina berkata daripada jumlah Kertas Siasatan yang dibuka melibatkan agensi penguat kuasa, sebanyak 104 Kertas Siasatan adalah berkaitan penyeludupan yang membawa kepada 154 tangkapan dan 54 pertuduhan.

BH ONLINE