Kawasan tepi laut gempar dengan penemuan wanita terdampar celah batu

GEORGETOWN – Kawasan tepi laut berhampiran sebuah kondominium di Persiaran Karpal Sigh, di sini, hari ini gempar dengan penemuan seorang wanita yang terdampar dalam keadaan masih bernafas.

Wanita yang berusia 46 tahun itu ditemukan orang awam di kawasan berbatu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 1.48 tengahari.

Katanya, pasukan polis di lokasi mendapati mangsa masih bernafas dan menghubungi ambulans bagi meminta bantuan.

“Didapati mangsa merupakan wanita warga Thailand yang mempunyai status pemastautin tetap (PR) dan suaminya adalah warga tempatan.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian atau pada badan mangsa,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Swee Sake berkata, mangsa kini masih dirawat di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Mangsa sudah sedar dan keadaan stabil namun masih tidak boleh bercakap.

“Keterangan mangsa masih belum dapat diperoleh setakat kenyataan ini dikeluarkan,” katanya lagi.

BH ONLINE