Menurut carian di Google, penduduk Maldives adalah 100 peratus Muslim. Islam adalah agama negara dan warganegara dikehendaki mengikutinya.
Republik ini terletak di barat daya benua kecil India, terdiri daripada rantaian hampir 1,200 pulau, dengan pemandangan yang cantik.
Terletak betul-betul di tengah Lautan Hindi, dengan ekonominya berkisar pada pelancongan, negara ini terus menjadi destinasi pilihan pelancong.
Menurut kenyataan laman web visitmaldives.com, Maldives baru-baru ini mengalu-alukan pelancong pertama untuk tahun ini, Nikolai Stratichuk dari Russia dengan satu majlis khas yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana (VIA).
“Hari ini adalah permulaan yang hebat untuk apa yang dijanjikan sebagai tahun yang hebat untuk Industri Pelancongan Maldives.
“Pelawat pertama kami untuk tahun ini tiba dengan penerbangan Etihad Airways EY278 sekitar jam 6:05 pagi ini.
“Beliau disambut oleh pegawai kanan dari Perbadanan Pemasaran dan Perhubungan Awam Maldives (MMPRC/Visit Maldives), bersama-sama eksekutif dari Kementerian Pelancongan, Imigresen Maldives dan Syarikat Lapangan Terbang Maldives Limited (MACL),” demikian menurut kenyataan itu, bertarikh 1 Januari 2023.
Nikolai melancong ke Maldives bersama keluarganya. Ini adalah lawatan pertamanya ke Maldives.
Menurut laman itu lagi, pelancong pertama menerima penginapan lima malam di Reethi Faru Resort.