Penyelamat Gaza berkata 19 terbunuh dalam serangan Israel semalaman

BANDAR GAZA, Wilayah Palestin – Agensi pertahanan awam Gaza berkata pada Selasa, serangan Israel semalaman membunuh sekurang-kurangnya 19 orang di seluruh wilayah Palestin, di mana Israel meneruskan serangannya terhadap Hamas.

Jurucakap pertahanan awam Mahmud Bassal memberitahu AFP bahawa “19 orang awam termasuk beberapa kanak-kanak telah syahid” dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serbuan terbaharu Israel.

Lima kanak-kanak dan empat dewasa terbunuh dalam serangan yang melanda sebuah rumah di pusat bandar Deir el-Balah, manakala dua serangan berasingan pra-fajar ke atas bandar Gaza dan Beit Lahia di utara menyebabkan sejumlah 10 orang terkorban, kata Bassal.

Secara berasingan, media yang bergabung dengan gerakan Jihad Islam, sekutu Hamas, mengumumkan kematian seorang pekerja bernama Ahmed Mansur pada Isnin dalam serangan Israel ke atas khemah digunakan oleh wartawan di kawasan Khan Yunis.

Pejabat media kerajaan Hamas pada Isnin melaporkan kematian wartawan Hilmi Al-Faqaawi, yang bekerja untuk sebuah agensi berita tempatan, dalam serangan yang sama, yang turut mencederakan sembilan lagi.

Sementara itu, tentera Israel berkata serangan itu menyasarkan “pengganas Hamas Hassan Abdel Fattah Mohammed Aslih,” dengan mendakwa dia beroperasi “bertopengkan wartawan dan memiliki syarikat akhbar”.

Ia berkata Aslih telah “menyusup ke wilayah Israel dan mengambil bahagian dalam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pertubuhan pengganas Hamas” pada 7 Oktober 2023.

Israel meneruskan serangan sengit di Semenanjung Gaza pada 18 Mac, menamatkan gencatan senjata selama dua bulan dengan Hamas. Usaha untuk memulihkan gencatan senjata setakat ini gagal.

Menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas, sekurang-kurangnya 1,391 rakyat Palestin telah terbunuh dalam operasi baharu Israel, menjadikan jumlah kematian keseluruhan sejak permulaan perang kepada 50,752.

AN-AFP