Salji lebat landa barat Serbia, pihak berkuasa gesa berhati-hati

BELGRADE – Salji lebat melanda barat dan barat daya Serbia, menyebabkan pihak berkuasa memberi amaran tentang kemungkinan gangguan kepada pengangkutan dan bekalan elektrik pada Isnin.

Institut Hidrometeorologi Serbia (RHMZ) mengeluarkan amaran cuaca segera, meramalkan salji lebat dari hari ini hingga Rabu dengan salji paling lebat dijangka berlaku di wilayah barat.

Sektor Situasi Kecemasan Kementerian Dalam Negeri telah menasihatkan rakyat untuk mengelakkan perjalanan yang tidak perlu dan tinggal di dalam rumah. Penduduk digesa bersiap sedia menghadapi kemungkinan bekalan elektrik terputus.

Bagi memastikan komunikasi tepat pada masanya, RHMZ telah mengaktifkan sistem pemberitahuan SMS kecemasan untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang keadaan cuaca yang teruk dan memberikan arahan yang diperlukan.

Salji dijangka berterusan dalam tempoh dua hari akan datang, dengan perkhidmatan kecemasan bersedia untuk membersihkan jalan dan membantu kawasan terjejas.

Menjelang Rabu, antara 20 dan 40 sm salji diramalkan untuk kawasan rendah, manakala kawasan gunung boleh menerima lebih 50 sm, menurut RHMZ.

XINHUA