Taman Eko Rimba KL tarikan pelancong

Taman Eko Rimba KL tarikan pelancong

Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) di Bukit Nenas berpotensi untuk dipromosi sebagai satu lagi tarikan di ibu kota.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata selain mempunyai sejarah tersendiri, TERKL juga berada di tempat yang strategik selain mudah untuk diakses, termasuk kepada pelancong asing.

“Mungkin bila orang dengar Bukit Nenas mereka fikir sekolah. Mereka fikir Menara KL. Tak terfikir di sini ada satu Taman Eko Rimba yang ada sejarahnya tersendiri. Bukan sahaja flora, fauna juga ada.

“Sambutan sebenarnya sangat baik. Tetapi saya rasa boleh pergi lebih jauh lagi sebab tidak banyak bandar raya di dunia yang boleh tawarkan satu hutan rimba yang ada di tengah-tengah kota raya.

“Inilah keunikan Taman Eko Rimba di sini,” katanya hari ini.

Nik Nazmi berkata, pihaknya juga sudah membuat beberapa permohonan kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi meningkatkan lagi promosi dan menaik taraf kemudahan taman itu.

Terdahulu beliau bersama Pengerusi Kesihatan, Kebajikan dan Pengurusan Bencana, Sains, Teknologi, Inovasi dan Teknologi Hijau, Alam Sekitar dan Perpaduan negeri Perlis, Megat Hashirat Hassan merasmikan sesi pelepasan peserta Visit Perlis dan Green Fun Ride and Run serta Jelajah Perpaduan Kayuhan Hijau di Dataran Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Program anjuran kerajaan negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Pertubuhan Nadi Sihat itu dianjurkan bersempena dengan ambang sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, program itu bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan semangat cintakan alam semula jadi dalam kalangan masyarakat, selain meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara sumber hutan.

“Program ini juga bertujuan mempromosi negeri Perlis bersempena dengan Tahun Melawat Perlis serta memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional dengan mengadakan kegiatan perpaduan untuk orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis 2024 akan diadakan pada 24 hingga 26 Mei ini di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, Perlis.

Pelbagai kegiatan akan diadakan termasuklah pameran tumbuhan herba, orkid, bonsai; pameran agensi kerajaan yang berkaitan penjagaan alam sekitar; Kem Biodiversiti, Bengkel Kenali dan Sayang Hutan; Bengkel Kesenian Penggunaan Peralatan Muzik dan Kebudayaan; Persembahan pada Malam Nakawan Rainforest Festival, pertandingan memasak makanan daripada sumber hutan dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

BH ONLINE memetik BERNAMA